Wednesday 3 June 2009

Padah Lubang Besar






MELAKA: “Saya hanya fikir akan lemas, namun dengan bantuan orang ramai, saya dan anak berjaya diselamatkan,” kata seorang warga emas, Md Desa Md Eson, 58, yang terjunam dalam lubang sedalam hampir dua meter bersama anaknya, Nurwahida, 24, di Jalan Krubong berhampiran Taman Teknologi Cheng, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, Md Esa yang menunggang motosikal Honda EX-5 dalam perjalanan dari Kampung Panchor di Pantai Belimbing untuk menghantar anak keduanya berusia 24 tahun itu ke tempat kerja di Taman Merdeka.

Dua beranak berkenaan nyaris lemas dalam lubang terbabit yang terbentuk seperti kawah disebabkan paip bawah tanah pecah dipercayai sejak awal pagi.

Md Esa berkata, sebaik tiba kawasan itu, dia melihat sebuah kereta Perodua Kancil berhenti dan menyangkakan ia rosak ataupun terbabit kemalangan.
Bahagian jalan itu juga dipenuhi air menyebabkannya menyangkakan berlaku banjir kerana hujan lebat pada awal pagi.
“Saya menunggang ke arah kanan berhampiran lorong bertentangan dan melalui tempat yang dipenuhi air itu dan tiba-tiba motosikal saya terus terjunam dalam lubang.

“Akibat itu, saya panik kerana kejadian berlaku pantas. Badan saya ditenggelami air separas leher serta tidak mampu berbuat apa-apa kecuali macam hendak lemas.

“Saya pegang tangan anak saya sekuat hati supaya dia tidak tenggelam kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini,” katanya di sini, semalam.

Md Esa bagaimanapun, bersyukur kerana ketika itu orang ramai berusaha untuk menyelamatkannya walaupun mendakwa agak lewat menghulurkan bantuan.

Akibat kejadian itu, anak perempuannya cedera di tangan kanan serta menangis dan trauma dengan nasib menimpa dirinya.

No comments:

Post a Comment